PENGENALAN



Dunia penulisan semakin mencabar dan memerlukan komitmen yang padu oleh penulis. Namun begitu, penulisan yang baik tidak bermakna sekiranya tidak diterbitkan dan dipasarkan. Oleh itu, kesepaduan usaha perlu dilakukan bagi mengimarahkan dunia persuratan. Bagi memenuhi matlamat ini, satu gerak usaha perlu dilaksanakan dengan perancangan yang sistematik.

Bengkel yang akan dianjurkan ini akan diisi dengan ceramah penulisan kreatif dan nonkreatif yang menjurus kepada keperluan penerbitan serta taklimat tentang penerbitan buku. 

Ceramah akan disampaikan secara tertutup dan terbuka. Ceramah tertutup hanya untuk peserta yang mendaftar dan memerlukan penginapan, manakala ceramah terbuka akan disertai penulis yang datang pada sesi ceramah tertentu sahaja.

Pengisiannya menggabungkan kaedah ceramah sehala dan perbincangan/ Pembimbing dan penceramah yang berkelayakan mengikut bidang akan dijemput dalam bengkel ini. 

Di samping membawa pembimbing yang berwibawa, peserta di setiap zon juga diberi ruang untuk memilih pembimbing atau bidang penulisan yang hendak dibicarakan. Hal ini demikian kerana setiap zon barangkali mempunyai keperluan tersendiri, sama ada hendak mendalami penulisan cereka, puisi, drama, biografi, ilmiah, dan asas penerbitan.

Bengkel selama tiga hari dua malam ini diadakan mengikut zon: zon tengah (Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor), zon timur (Kelantan atau Terengganu, merangkumi Pahang), zon utara (Perak, Pulau Pinang, Perlis, Kedah), Zon Selatan (Johor, Melaka), Sabah dan Sarawak. 

Peserta akan berpeluang memilih bengkel di zon yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka.